Apa Sebenarnya Sekolah Jurujual Baru?

Berapa banyak perkara baru yang kita perlu?

Dalam rutin seharian kita, berapa banyak perkara baru yang kita buat? Mungkin boleh dibilang dengan jari. Dari masa kita bangun tidur sampailah kita tidur balik... ada berapa je perkara baru yang kita buat haritu? Cuba bilang sekarang...

Di bidang kerjaya kita pulak... berapa banyak menda baru yang kita buat? Kecualilah kita tukar kerja.

Dan sekarang, ada pulak 'makhluk' yang nak buat Sekolah Jurujual Baru online. Apa sebenarnya ni? Apa perkara baru yang orang menjual belum lagi buat? Tanyalah Esah jual goreng pisang di Sungai Karang, S.Nizam yang jual insuran Prudential kat Kuantan dan Pak Lah yang 'jaja' Malaysia di serata dunia... apa lagi 'cara jual' yang belum lagi mereka buat?

Dah tentu mereka akan jawab,"Apa yang baru?"

Mencabar!

Memang mencabar untuk mengetengahkan sesuatu yang baru kepada yang lama. Baik cara menjual, undang-undang atau kadar kutipan tol baru... memang susah nak buat. Tapi, boleh di buat. Dan kadang-kadang PERLU dibuat kerana...

"Hidup ini perubahan"

Hidup kita semalam tak sama dengan harini walaupun pengisiannya serupa. Kita makan semalam, kita makan jugak harini. Tapi semalam kita makan nasi berlauk. Harini nasi kerabu. Tak sama. Berubah. Semalam hari panas. Harini hujan dan banjir kilat (maaf ya orang K.L). Berubah.

Dan bila berubah, jadilah BARU sifatnya. Tidak kekal. KEKAL sifat Tuhan. Manusia baru dan berubah.

"Begitulah halnya dengan Jurujual"

Jurujual harini tak sama dengan semalam dan takkan sama dengan hari esok. Banyak perkara baru yang muncul.Teknologi contohnya, mengubah cara Jurujual berkomunikasi, menyimpan maklumat dan bertindak.

Ilmu. Perkembangan teknologi maklumat menyumbang secara langsung kepada saiz dan kualiti ilmu yang ada harini. Untuk Jurujual, cara menjual tradisional sudah tidak boleh diguna-pakai untuk situasi jualan harini.

Mengapa begitu?

Kerana 'kitaran' (cycle) jualan harini semakin 'dalam' dan 'panjang'. Dalam maksudnya melibatkan banyak pihak. Panjang pula bermaksud masa untuk membuat satu jualan semakin bertambah. Anda setuju Jurujual sekalian?

Jadi, jika jualan dan produktiviti anda masih di tahap lama, mungkin anda sedang terperangkap.

"Perangkap Minda Si Penjual Dulukala"

'Suatu ketika dahulu, di sebuah negeri yang jauh dari sini, tinggal... '

Sudah menjadi sejarah. Style begitu anda boleh baca dalam buku Hikayat Dulu-dulu. Sekarang...

Ceritanya sudah lain. Dan ikut kajian, perangkap Jurujual yang paling berbahaya adalah perangkap minda. Minda tertutup adalah halangan paling besar yang perlu di atasi oleh Si Penjual kerana minda menentukan halatuju tindakan.

"Pengaruh minda"

Satu kajian pernah dibuat terhadap seorang Agen Jualan Insurans. Agen tersebut diberikan satu tugasan untuk menjual polisi di Bandar A. Dalam sebulan, secara konsisten, beliau berjaya menjual polisi berjumlah RM 15 ribu. Dan jumlah jualan polisinya TIDAK PERNAH kurang daripada itu.

Suatu ketika, Syarikat Insurans tempat Si Agen ni tadi bekerja, membuat keputusan untuk menghantar agen ini ke sebuah Bandar B. Tujuannya? Untuk menjadi contoh kepada agen-agen lain di situ. Walaupun Bandar B lebih rendah taraf-hidup penduduknya dan lebih lemah status sosio-ekonominya daripada Bandar A, tetapi Si Agen ni tadi masih dapat menjual polisi insurans berjumlah RM 15 ribu tiap-tiap bulan.

Masa berlalu dan suatu hari, sekali agi Syarikat Insurans Si Agen membuat keputusan menukarkan beliau ke Bandar C pula. Berbeza dengan Bandar A dan Bandar B, Bandar C bolehlah dikatakan bandar terbaik antara ketiga-tiga bandar ini. Taraf hidupnya lebih tinggi dan status sosio-ekonominya jauh, jauh lebih baik.

Agaknya, bagaimanakah prestasi Si Agen ni tadi?

Tak berubah langsung! Dalam keadaan bagaikan itik mendapat air itupun, Si Agen HANYA menjual RM15 ribu poilisi insurans. Pelik?!

Mengapa begitu?

Kesimpulan kajian mendapati, Si Agen telah meletakkan sasaran jualan RM 15 ribu di mindanya. Walau di mana dan apa keadaan sekalipun, itulah jumlah yang akan dikejar.

Pengaruh minda.

Pengkaji telah mencadangkan, sekiranya Si Agen ingin menaikkan taraf pencapaiannya, perkara pertama yang harus beliau ubah adalah jumlah sasaran yang diletakkan di MINDAnya.

Perkara sama juga perlu anda lakukan sekiranya anda mahu mengubah keadaan anda.

Dan itulah tujuan Sekolah Jurujual Baru ini.

"Merencana perubahan melalui perubahan minda"

Teruskan mengikuti ruangan ini sekiranya anda sudah bersedia untuk berubah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan